Sunday, May 13, 2012





KUALA LUMPUR 10 Mei – Himpunan Jutaan Belia 2012 yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini menjanjikan kelainan kepada golongan belia tanpa lari daripada matlamat asal penganjuran program tersebut.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi yang baru berikutan penambahan aktiviti, namun pihak kementerian akan memastikan program tersebut berjalan dengan lancar dan meriah.

“Segala perancangan dan persiapan program tersebut masih dalam kawalan dan tiada masalah yang timbul walaupun kami perlu menghadapi situasi baru akibat daripada penambahan aktiviti.

“Lebih daripada 500 aktiviti akan diadakan pada program kali ini berbanding 200 aktiviti pada tahun lepas,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran filem Man Sewel Datang KL di pusat membeli belah The Curve Damansara hari ini.

Menurut Razali, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut mengumumkan beberapa pencapaian yang telah dibuat oleh golongan belia pada program tersebut bagi memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah menyumbang kepada negara.

Sehubungan itu, Razali menyeru kepada semua golongan belia untuk memeriahkan program tersebut, seterusnya membuktikan kepada negara bahawa mereka sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan akan membanggakan pucuk kepimpinan negara dengan kebolehan yang dimiliki.


sumber : KLPOS

0 comments: